Warga Emas di Malaysia kini berjumlah sekitar 3.5 juta orang atau 10.7% . Berdasarkan unjuran Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Malaysia dijangka menjadi sebuah “negara tua” pada tahun 2035 apabila jumlah warga emas mencecah 15 peratus daripada jumlah penduduk negara, iaitu lebih 5 juta orang.
Lazimnya, 10 peratus daripada warga emas akan mengalami pelbagai penyakit kronik seperti diabetes, darah tinggi, stroke, gout, kanser, jantung, kegagalan buah pinggang dan sakit tua, manakala sekitar 1 peratus tidak mampu bangun (bed-ridden). Mereka memerlukan penjagaan khusus dan dalam keadaan ketidakcukupan katil di hospital serta kekangan anak-anak bekerjaya, keadaan mereka sering terabai.
Dasar Warga Emas Negara mensasarkan komitmen Kerajaan bagi mengwujudkan warga emas yang berdikari, bermartabat dan dihormati dengan mengoptimum potensi diri melalui proses penuaan sihat, positif, aktif, produktif dan hidup Sejahtera. Maka, kesedaran tentang keberadaan warga emas dan keperluan menjaga kebajikan mereka perlu ditingkatkan. Ruang untuk berbakti terhadap warga emas terbuka luas dan selama ini kurang dimanfaatkan.
Langkah penjagaan kebajikan warga emas telah dilaksanakan oleh kerajaan, namun kemampuannya terhad. Kini kerajaan hanya mampu mewujudkan 143 Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) berbanding 222 buah PAWE yang disasarkan di seluruh negara (satu Parlimen satu PAWE). JKM hanya mengendalikan 17 buah pusat jagaan warga emas di seluruh negara yang melibatkan 3,000 warga emas yang terlantar. Manakala Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula hanya menubuhkan dua pusat jagaan warga emas, iaitu di Kuala Kubu Baharu, Selangor dan di Kuala Terengganu, Terengganu yang memuatkan 200 warga emas terlantar (bed-ridden).
Langkah membantu warga emas oleh NGO dan orang perseorangan kebanyakannya dipelopori oleh non -Muslim. Terdapat sekitar 345 buah Pusat Jagaan dan Rawatan Orang Tua non-Muslim di seluruh negara, tetapi tidak banyak pusat jagaan dan rawatan warga emas bagi orang Islam. Antara pusat jagaan dan rawatan warga emas milik orang Islam dan berorientasi secara patuh Syariah (syariah compliance) ialah Pusat Jagaan dan Rawatan Orang Tua al-Ikhlas di Pulau Meranti, Cyberjaya; Restu Villa Putrajaya yang beroperasi secara “high end & full board” berbayar; dan Hospital al-Islam Kuala Lumpur menubuhkan Pusat Jagaan al-Islam di Kajang pada awal tahun 2023.
Terdapat juga beberapa buah pusat jagaan Muslim yang beroperasi secara sendirian di seluruh negara, tetapi jumlahnya hanya sekitar 30 buah. Atas dasar itu, Yayasan Kasih Warga Emas terpanggil untuk turut menyumbang bakti menyantuni warga emas dengan pelbagai aktiviti sesuai dengan asas penubuhannya.